Make your own free website on Tripod.com

KONSEP KEPIMPINAN


KONSEP KEPIMPINAN

Kepimpinan mempunyai berbagai definisi mengikut takrifan seseorang. Walaubagaimanapun, satu definisi umum dapat di simpulkan, iaitu:

"Kepimpinan ialah proses mempengaruhi individu dan kumpulan untuk mencapai sesuatu matlamat".

Sebagai seorang pemimpin, tugas anda ialah untuk mengimbangi beberapa tuntutan atau keperluan, seperti keperluan diri, kumpulan dan organisasi. Mengikut John Adair pula, tugas pemimpin ialah untuk mengimbangi antara keperluan-keperluan tugas, pasukan dan individu.

Pemimpin dikenali dengan berbagai istilah, misalnya ketua, kepala, pengetua, amir, imam dan sebagainya. Istilah lain bagi pengikut ialah orang bawahan, ahli-ahli, anggota-anggota, pekerja, staff atau kakitangan (dalam konteks pengurusan) dan sebagainya.

Definisi Kepimpinan

Di antara definisi-definisi yang diberi untuk istilah kepimpinan ialah:

"Aktiviti untuk mempengaruhi individu supaya berusaha secara sukarela untuk mencapai objekti kumpulan dan organisasi."(Jaafar Muhammad).

"Pengaruh interpersonal yang dilaksanakan dalam sesuatu situasi menerusi proses komunikasi ke arah pencapaian satu matlamat yang khas" (Tannenbaum & Massarik).

"Satu usaha mempengaruhi individu untuk mengikut ke arah pencapaian matlamat yang sama". (Koontz & O'Donnell).

"Proses kepimpinan adalah bergantung kepada fungsi pemimpin, pengikut dan pembolehubah situasi." (Hersey & Blanchard).

Cara Mengklasifikasikan Pemimpin

Terdapat dua cara utama untuk mengklasifikasikan pemimpin. Pertama ialah dengan menggunakan pendekatan autokratik-demokratik-laissez-faire dan keduanya ialah pendekatan orientasi manusia-tugas.

Pemimpin autokratik: memaksa pengikut membuat sesuatu tanpa mengambilkira keperluan individu pengikut. Beliau tidak prihatin pada perasaan pengikut, oleh itu beliau selalunya tidak digemari. Pengikut melakukan sesuatu kerja atas dasar takut (motivation by fear).

Pemimpin demokratik: melibatkan pengikut dalam pembuatan keputusan. Biasanya disukai ramai kerana pengikut merasa mereka dihargai dan ada rasa pemilikan dan kekitaan.

Pemimpin laissez-faire: menyerahkan kepad pengikut untuk membuat keputusan. Beliau hanya terlibat secara minimal. Keadaan mungkin huru-hara akibat struktur tugas yang tidak jelas dan tidak terarah.

Pemimpin berorintasikan tugas: lebih mengutamakan soal-soal pencapaian pengeluaran atau hasil kerja dari hal ehwal pengikut.

Pemimpin berorintasikan manusia: mengambilkira keperluan individu dalam melaksanakan kepimpinannya.

Pendekatan Kajian

Terdapat 3 pendekatan utama yang digunakan oleh para pengkaji iaitu [1] pendekatan sifat, [2] pendekatan kelakuan, [3] pendekatan situasi

Pendekatan Sifat

Adalah cubaan pertama untuk menghuraikan konsep kepimpinan. Pemimpin mempunyai sifat-sifat, ciri-ciri atau keistimewaan-keistimewaan tertentu yang membezakan mereka dengan orang-orang lain. Senarai sifat-sifat tersebut mungkin terlalu panjang, tetapi secara kasarnya kita boleh katakan bahawa sifat-sifat seperti ketinggian, perawakan, ilmu, kepintaran, kejujuran, keyakinan, kepetahan berbicara, keramahan dan kemesraan, keinginan, keberanian dan sebagainya.

Kajian-kajian

Kajian awal banyak dilakukan dengan cara berikut: [1] mengkaji perbezaan antara sifat-sifat pemimpin dengan bukan pemimpin (pengikut); [2] mengkaji perbezaan antara sifat-sifat pemimpin efektif dengan tak efektif;

Kajian yang membandingkan sifat-sifat pemimpin dengan bukan pemimpin mendapati bahawa pemimpin adalah lebih intelligent, lebih tinggi, lebih berkeyakinan dan lebih berkehendakkan kepada kuasa berbanding dengan bukan pemimpin. Walaubagaimanapun kombinasi sifat-sifat tersebut bukanlah menjadi sesutu yang membezakan antara pemimpin efektif dengan pemimpin tak efektif. Pengkaji yang menggunakan pendekatan ini kelihatannya membuat andaian bahawa pemimpin adalah dilahirkan dan bukannya dilatih. Kajian bagaimanapun masih tidak dapat menyimpulkan bahawa satu set sifat-sifat yang tertentu dapat membezakan pemimpin efektif dengan pemimpin tak efektif.

Menurut kajian Stogdill, sifat-sifat kepimpinan efektif adalah seperti berikut: kemahiran sosial dan interpersonal, kemahiran teknikal, kemahiran pentadbiran, pencapaian dan keberkesanan pemimpin dan sebagainya.

Seorang pengkaji lain, Edwin Ghiselli dihormati kerana mutu kajiannya yang bersifat saintifik. Kajian beliau menunjukkan sifat-sifat berikut adalah penting: [1] kebolehan untuk menyelia [2] keinginan untuk berjaya dalam kerjaya [3] intelligent [4] kebolehan untuk membuat keputusan [5] keyakinan diri [6] mempunyai inisiatif.

Kelemahan Pendekatan Sifat

Banyak dari pemimpin-pemimpin dunia yang kita sanjungi mempunyai sifat-sifat tertentu yang menyebabkan mereka berjaya. Adalah sukar untuk mencari satu set sifat kepimpinan yang seragam yang ada pada setiap pemimpin. Lincoln dan Hitler, umpamanya, walaupun kedua-duanya adalah pemimpin mempunyai sifat-sifat yang berlainan. Winston Churchill adalah pemimpin cemerlang semasa Perang Dunia kedua. Siapa sangka beliau boleh kalah kepada seorang yang tidak terkenal ketika pilihanraya diadakan setyelah Perang Dunia Kedua tamat? Nampaknya situasi banyak memainkan peranan dalam menentukan kecemerlangan seseorang pemimpin.

Pendekatan Kelakuan

Oleh kerana pendekatan sifat tidak berjaya menghuraikan apa itu kepimpinan berkesan, maka perhatian beralih pula pada pendekatan kelakuan. Dalam pendekatan ini, para pengkaji telah mengandaikan bahawa pemimpin adalah dilatih dan bukannya lahir dengan sifat kepimpinan. Terdapat beberapa implikasi penting hasil dari penggunaan pendekatan ini. Pertama, dengan menumpukan apa yang pemimpin buat dan bukannya siapa atau apa sifat mereka, adalah diandaikan bahawa terdapat satu cara terbaik untuk memimpin. Kedua, sungguhpun sufat adalah semulajadi, kelakuan kepimpinan hendaklah dipupuk.

Pendekatan kelakuan membahagikan kelakuan manusia kepada 3 iaitu: [1] berorientasikan manusia; [2] berorientasikan tugas; [3] kombinasi kedua-dua sifat di atas.

Di antara kajian-kajian dan teori-teori yang berasaskan pendekatan ini ialah:

[1] kajian oleh Kurt Lewin;

[2] Teori X dan Teori Y oleh McGregor;

[3] Petak Kepengurusan oleh Blake dan Mouton.

Pendekatan Situasi

Kedua-dua pendekatan terdahulu masih tidak berkemampuan untuk menerangkan konsep kepimpinan. Para sarjana mula membuat andaian bahawa tidak ada satu gaya pun yang berkesan untuk setiap pemimpin dalam semua keadaan. Pendekatan situasi memberi kefahaman baru bahawa faktor-faktor seperti situasi, manusia, tugas, organisasi dan persekitaran memainkan peranan dalam menentukan keberkesanan seseorang pemimpin. Antara teori-teori popular yang menggunakan pendekatan ini ialah:

[1] Kontinuum Kepimpinan Tannenbaum dan Schmidt;

[2] Teori Konstigensi Fiedler;

[3] Teori Kitaran Hidup Hersey dan Blanchard.

Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Keberkesanan

Menurut Mary Parker Follet, terdapat tiga pembolehubah yang memberi kesan pada gaya kepimpinan iaitu: [1] pemimpin; [2] pengikut; dan [3] situasi. Ketiga-tiganya adalah saling berkaitan dan saling berhubungan.

Kajian-kajian lain menunjukkan bahawa kepimpinan adalah sesuatu yang kompleks di mana banyak lagi faktor-fakto lain yang terlibat. Faktor-faktor itu boleh dibahagikan kepada dua, iaitu: [faktor makro; dan [2] faktor mikro.

Faktor-faktor makro ialah: [1] keadaan ekonomi; [2] sejarah dan kebudayaan; [3] industri; dan [4] organisasi.

Faktor-faktor mikro ialah: [1] latarbelakang dan personaliti pemimpin; dan [2] tingkat organisasi dan saiz kumpulan.