Make your own free website on Tripod.com

PENDEKATAN SIFAT 

PENGENALAN

Kajian saintifik tentang kepimpinan dapat dibahagikan dalam tiga peringkat:

1. Peringkat pertama- pendekatan sifat (1910 hingga Perang Dunia Kedua)

2. Peringkat Kedua-pendekatan tingkahlaku/kelakuan (permulaan Perang Dunia Kedua hingga akhir 1960an)

3. Peringkat Ketiga- pendekatan kontingensi-situasi (akhir 1960an hingga sekarang)

Pendekatan sifat merupakan usaha pertama untuk memahami konsep kepimpinan. Pendekatan ini percaya bahawa pemimpin itu adalah semulajadi, bukannya dibentuk. Menurut kepercayaan awal, pemimpin dianggap hebat, tinggi kedudukannya dan diberi sifat-sifat ketuhanan. Pemimpin mempunyai sifat-sifat tertentu yang membolehkan mereka berkuasa ke atas pengikut. Senarai sifat-sifat tersebut mungkin panjang dan ini termasuklah seperti ketinggian, tenaga, rupa paras, pengetahuan dan kepintaran, imaginasi, keyakinan diri, kefasihan berbicara, keseimbangan dan pengawalan mental dan emosi, kebolehsosialan dan keramahan, semangat, keberanian dan sebagainya.

Menurut Aristotle, ahli falsafah Greek, "sejak kelahiran mereka, setengah-setengah orang ditandai oleh penundukan, sementara yang lain oleh perintah".

KAJIAN AWAL

Kebanyakan dari kajian awal bertujuan untuk:

1. membandingkan sifat-sifat pemimpin dengan pengikut

2. mengenalpasti ciri-ciri dan sifat-sifat yang dimiliki oleh pemimpin.

Kajian-kajian yang membandingkan sifat-sifat pemimpin dengan bukan pemimpin mendapati bahawa pemimpin adalah lebih pintar, tinggi, yakin dan lebih berorientasikan kuasa. Walaubagaimana pun kombinasi-kombinasi khusus bagi sifat-sifat yang membezakan antara pemimpin dan bukan pemimpin masih belum ditemui.

Di antara pengkaji awal yang menggunakan pendekatan ini ialah Ralph Stogdill. Hasil dari 15 kajiannya Stogdill merumuskan bahawa pemimpin biasanya melebihi pengikut dari segi:

KAJIAN-KAJIAN SELEPASNYA

Seorang pengkaji, Edwin Ghiselli, seorang yang dihormati kerana kajiannya yang bermutu saintifik, telah membuat kajian tentang sifat-sifat kepimpinan yang berkesan. Menurut Ghiselli, sifat-sifat penting untuk menjadi pemimpin yang berkesan ialah:

1. Kebolehan menyelia

2. Kemahuan untuk berjaya dalam kerjaya

3. Kepintaran, termasuk dalam menilai, menghujah dan berfikir secara kreatif

4. Kebolehan membuat keputusan dan menyelesaikan masalah

5. Keyakinan diri

6. Initiatif, iaitu kebolehan bertindak tanpa bergantung kepada orang lain dan kebolehan untuk menjana alternatif dalam membuat sesuatu.

KELEMAHAN PENDEKATAN INI

Banyak dari pemimpin-pemimpin dunia yang kita sanjungi mempunyai sifat-sifat tertentu yang menyebabkan mereka berjaya. Adalah sukar untuk mencari satu set sifat kepimpinan yang seragam yang ada pada setiap pemimpin. Lincoln dan Hitler, umpamanya, walaupun kedua-duanya adalah pemimpin mempunyai sifat-sifat yang berlainan. Winston Churchill adalah pemimpin cemerlang semasa Perang Dunia kedua. Siapa sangka beliau boleh kalah kepada seorang yang tidak terkenal ketika pilihanraya diadakan setyelah Perang Dunia Kedua tamat? Nampaknya situasi banyak memainkan peranan dalam menentukan kecemerlangan seseorang pemimpin.

Walaubagaimanapun banyak kajian-kajian yang di buat gagal untuk menunjukkan wujudnya kombinasi sifat-sifat khusus yang boleh dikaitkan secara konsisten dengan kepimpinan.

Di antara sebab-sebab kegagalan mencari bukti yang konsisten menurut Stogdill ialah:

1. Sifat tidak beroperasi secara bersendirian tetapi secara kombinasi untuk mempengaruhi pengikut.

2. Sifat pemimpin yang berkesan pada satu situasi mungkin tidak berkesan dalam situasi lain.

PENDEKATAN KELAKUAN

Oleh kerana pendekatan sifat tidak berjaya menghuraikan apa itu kepimpinan berkesan, maka perhatian beralih pula pada pendekatan kelakuan. Dalam pendekatan ini, para pengkaji telah mengandaikan bahawa pemimpin adalah dilatih dan bukannya lahir dengan sifat kepimpinan. Terdapat beberapa implikasi penting hasil dari penggunaan pendekatan ini.

Pertama, dengan menumpukan apa yang pemimpin buat dan bukannya siapa atau apa sifat mereka, adalah diandaikan bahawa terdapat satu cara terbaik untuk memimpin.

Kedua, sungguhpun sufat adalah semulajadi, kelakuan kepimpinan hendaklah dipupuk.

Pendekatan kelakuan membahagikan kelakuan manusia kepada 3 iaitu: [1] berorientasikan manusia; [2] berorientasikan tugas; [3] kombinasi kedua-dua sifat di atas.

Di antara kajian-kajian dan teori-teori yang berasaskan pendekatan ini ialah:

[1] kajian oleh Kurt Lewin;

[2] Teori X dan Teori Y oleh McGregor;

[3] Petak Kepengurusan oleh Blake dan Mouton.

PENDEKATAN SITUASI

Kedua-dua pendekatan terdahulu masih tidak berkemampuan untuk menerangkan konsep kepimpinan. Para sarjana mula membuat andaian bahawa tidak ada satu gaya pun yang berkesan untuk setiap pemimpin dalam semua keadaan. Pendekatan situasi memberi kefahaman baru bahawa faktor-faktor seperti situasi, manusia, tugas, organisasi dan persekitaran memainkan peranan dalam menentukan keberkesanan seseorang pemimpin.

Antara teori-teori popular yang menggunakan pendekatan ini ialah:

[1] Kontinuum Kepimpinan Tannenbaum dan Schmidt;

[2] Teori Konstigensi Fiedler;

[3] Teori Kepimpinan Situasi Hersey dan Blanchard.

FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI KEBERKESANAN

Menurut Mary Parker Follet, terdapat tiga pembolehubah yang memberi kesan pada gaya kepimpinan iaitu: [1] pemimpin; [2] pengikut; dan [3] situasi. Ketiga-tiganya adalah saling berkaitan dan saling berhubungan.

Kajian-kajian lain menunjukkan bahawa kepimpinan adalah sesuatu yang kompleks di mana banyak lagi faktor-fakto lain yang terlibat. Faktor-faktor itu boleh dibahagikan kepada dua, iaitu:

Faktor-faktor makro ialah: [1] keadaan ekonomi; [2] sejarah dan kebudayaan; [3] industri; dan [4] organisasi.

Faktor-faktor mikro ialah: [1] latarbelakang dan personaliti pemimpin; dan [2] tingkat organisasi dan saiz kumpulan.