Make your own free website on Tripod.com
KEMAHIRAN MENDENGAR
A.Zamri Mansor
Pusat Pengajian Umum
Universiti Kebangsaan Malaysia  

PENTINGNYA MENDENGAR DENGAN BAIK

Seorang pendengar yang baik mendengar bukan saja dengan telinga tetapi juga dengan mindanya. Bila sesuatu mesej kurang difahami, dia akan meminta pembicara untuk menjelaskan. Seorang pendengar yang baik mestilah senantiasa dalam keadaan sedar dan mendengar dengan aktif. Mendengar ialah satu proses yang memerlukan minda yang dapat berfungsi secara aktif.

Mendengar ialah satu bentuk komunikasi yang paling banyak digunakan di tempat kerja. Satu kajian yang dibuat menunjukkan jumlah masa yang digunakan untuk bentuk-bentuk komunikasi dalam sehari (Lewis, 1975:p.7):

  • Mendengar - 45 %
  • Bercakap - 30 %
  • Membaca - 16 %
  • Menulis - 09 %
  • Sumber: Lewis, P (1975). Organizational Communications (Columbus, Ohio: Grid, Inc., 1975).

    KENAPA ANDA TIDAK MENDENGAR DENGAN BAIK

    Terdapat enam sebab kenapa anda tidak mendengar dengan baik:
    1. Anda berfikir lebih pantas dari bercakap
    2. Emosi anda menyekat penyaluran sesetengah mesej-mesej
    3. Anda lebih banyak bersedia memberi respon dari memahami mesej.
    4. Anda tidak menumpukan perhatian sepenuhya.
    5. Anda tidak biasa dengan bahasa atau gayabahasa pembicara.
    6. Anda memang pekak.

    Anda Berfikir Lebih Pantas Dari Bercakap ,

    Otak manusia berfungsi pada kelajuan yang tinggi. Secara puratanya otak manusia dapat memproses 600 atau 700 perkataan seminit. Kebanyakan orang bercakap pada kadar 125 perkataan seminit. Jurang masa ini menghasilkan "masalah pendengaran". Apa yang berlaku pada masa ini ialah minda mendapati terlalu mudah untuk mendengar dan pada masa yang sama berfikir tentang perkara-perkara lain. Bila ini berlaku, minda akan mula menerawang. Hasilnya, sesuatu tidak dapat didengar dengan baik kerana pendengar membiarkan perhatian mereka digugat (distracted). Pendengar kerapkali berpura-pura mendengar walapun sebenarnya mereka hanyalah berfikir tentang perkara-perkara lain.

    Emosi Menyekat Penyaluran Sesetengah Mesej

    Emosi dapat mencorakkan kefahaman seseorang tentang apa yang diucapkan. Terdapat beberapa isyarat yang membolehkan anda tahu bahawa pendengaran anda dipengaruhi oleh emosi:
    1. Bila anda tidak menyukai pembicara
    2. Bila berlaku pertentangan peribadi (personality clash) dengan pembicara.

    Anda Tidak Menyukai Pembicara

    Adalah lebih mudah bagi anda untuk mendengar percakapan orang yang sependapat dengan anda. Anda merasa agak susah untuk mendengar percakapan orang yang tidak sependapat dengan anda.

    Pertentangan Peribadi

    Adalah lebih senang untuk mendengar kata-kata orang yang anda sukai.

    Anda lebih banyak bersedia memberi respon dari memahami mesej.

    Perbualan seimbang antara dua orang jarang berlaku. Apa yang banyak berlaku ialah, bila dua orang berbual, seorang daripadanya akan lebih banyak bercakap dari mendengar manakala seorang lagi lebih banyak mendengar dari bercakap. Pendengar pula jarang memahami pada apa yang diucapkan. Sebaliknya, dia sibuk berfikir untuk meluahkan fikirannya.

    Anda Tidak Menumpukan Perhatian Sepenuhnya

    Anda tidak dapat menerima sepenuhnya mesej dari pembicara kerana kosentrasi anda tidak berterusan. Menurut ahli-ahli sains, kosentrasi anda putus setiap 2 hingga 5 saat sekali. Bila kosentrasi anda putus, minda anda akan menerawang ke arah perkara-perkara lain.

    Pengingatan juga merupkan satu masalah. Berapa banyakkah mesej yang anda dapat ingat pada satu jangkamasa? Setengah-setengah pakar menyatakan kita cuma dapat ingat 20% dari mesej yang kita dengar!

    Satu kajian telah dilakukan oleh Persatuan Psikologi Amerika Syarikat. Kajian ini dilakukan di Wayne State University, Detroit berkenaan dengan kosentrasi 85 orang pelajar kolej semasa kuliah. Hasil dari kajian itu ialah cuma 20% dari pelajar memberi perhatian semasa kuliah, dan dari jumlah itu cuma 12% saja yang mendengar dengan penuh perhatian (actively listening). Berikut ialah apa yang difikirkan oleh pelajar-pelajar lain - 20% merenung perkara-perkara yang telah berlaku; 20% berfantasi dengan idea-idea erotik dan selebihnya resah, berfikir tentang makan tengahari, bermimpi dan berfikir tentang agama.

    Anda Tidak Biasa Dengan Bahasa Atau Gayabahasa Pembicara

    Kemungkinan pembicara menggunakan bahasa atau dialek yang anda tidak fahami atau tidak biasa. Ada juga kemungkinan pembicara menggunakan istilah yang anda kurang fahami misalnya yang berbentuk teknikal.

    MENDENGAR DENGAN BERKESAN

    Mendengar secara berkesan memerlukan kepada dua kemahiran:
    1. Keupayaan untuk mendengar fakta-fakta.
    2. Keupayaan untuk mendengar luahan perasaan.

    Misalnya seorang pelajar mungkin mengeluarkan kata-kata berikut kepada rakan sebiliknya: "Bunyi radio engkau tu bisinglah!".

    Sekiranya anda, sebagai teman sebilik mendengar fakta anda mungkin menafsirkan mesej tersebut sebagai permintaan untuk menurunkan volume suara radio anda. Tetapi jika anda mengamati lebih dalam lagi (mendengar luahan perasaan), kata-kata anda itu mungkin membawa salah satu dari maksud-maksud berikut:

    1. Dia ingin memberitahu anda bunyi bising itu mengganggu perhatiannya kepada pmbacaannya.
    2. Dia memang tidak sukakan anda dan bunyi radio itu hanya cara meluahkan ketidaksukaannya.
    3. Dia risaukan bunyi radio itu mengganggu teman-teman di bilik sebelah
    4. Dia tidak sukakan rancangan radio itu.
    5. Dia dirundung malang dan perlukan ketenangan.

    SALAH TANGGAPAN TENTANG KEMAHIRAN MENDENGAR

    Mendengar Ialah Proses Semulajadi

    Ramai orang menganggap bahawa mendengar adalah proses semulajadi seperti bernafas. Oleh itu ia tidak perlu dipelajari. Sebenarnya kemahiran mendengar adalah kurang dititikberatkan di institusi-institusi pendidikan kita. Kita ada kursus penulisan, kursus bertutur dan kursus membaca tapi tidak ada kursus kemahiran mendengar. Sebenarnya kemahiran mendengar ialah kemahiran komunikasi yang paling tidak difahami orang.

    Mendengar Ialah Satu Aktiviti Pasif

    Ramai orang menganggap mendengar adalah aktiviti pasif dimana pendengar hanya menyerap mesej dari pengirim sebagaimana sponge menyerap air. Tanggapan ini adalah salah kerana pendengar hendaklah menyediakan minda yang aktif untuk memberi respon kepada mesej yang disampaikan. Proses mendengar bukanlah proses satu hala, ianya merupakan proses penghantaran dan penafsiran mesej dan pertukaran maklumbalas.

    Semua Pendengar Membuat Tafsiran Yang Sama

    Kita biasanya membuat andaian bahawa pendengar-pendengar akan membuat satu tafsiran yang sama terhadap satu mesej. Sebenarnya tidak ada pemahaman yang seragam (uniform comprehension) kerana penafsiran mesej dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti, fisiologikal, budaya, keperluan peribadi, minat dan sebagainya.